Di Thailand sedang berlaku protes besar-besaran membantah kerajaan tentera pimpinan Prayut Chan-o-cha.
Thailand tak asing dengan protes anti-kerajaan. Apa yang 'asing' kali ini ialah permintaan memperbaharui/memansuhkan sistem raja.
Kerajaan Prayut bukan kerajaan yang popular sebab ia naik menerusi rampasan kuasa tahun 2014 yang menggulingkan Yingluck Shinawatra, adik Thaksin Shinawatra, mantan PM (2001-2006) yang juga digulingkan oleh tentera.
Walaupun ramai ingat Thaksin dan Yingluck korup, tapi diorang berdua ni sangat popular di kalangan orang-orang miskin (terutama di kawasan luar bandar Chiang Mai dan Isan) akibat dasar populis mereka yang pro golongan berpendapatan rendah.
Parti 'Thaksinist' tak pernah kalah PRU sejak tahun 2001. Tapi disebabkan kebangkitan Thaksinist menggugat elit lama, lalu elit lama bekerjasama dengan tentera (dengan restu raja) 2 kali menggulingkan PM yang dipilih rakyat dalam masa 10 tahun.
(Nota: Parti 'Democrat' yang jadi lawan kepada parti Thaksinist bukan parti pro-demokrasi tapi parti pro-raja yang mewakili kepentingan elit kapitalis lama dan bersekutu dengan tentera)
Akibat desakan rakyat, maka tentera pun 'kembalikan' kuasa kepada rakyat dengan mengadakan PRU pada 2019. Tapi ramai melihat tentera memanipulasi PRU sehingga parti proksi tentera, Palang Pracharat memenangi PRU.
Pada awal tahun 2020, mahkamah perlembagaan Thailand telah membubarkan Future Forward Party yang merupakan parti ke-3 besar di parlimen. Ramai melihat itu sebagai taktik kerajaan untuk hapuskan pembangkang, maka protes meletus.
Protes reda selepas penularan COVID, tapi kembali memasuki Julai. Golongan pro-demokrasi mengemukakan '3 permintaan' (dilambangkan dengan 3 jari) iaitu meminda perlembagaan 2017 yang memberi tentera lebih banyak kuasa, bubar parlimen, dan berhenti menahan aktivis pro-demokrasi.
Pada masa yang sama, golongan pro-demokrasi turut meminta kuasa raja dihadkan. Baru beberapa jam lepas protester siap buat 'People's Plaque' yang menyatakan 'kuasa adalah milik rakyat bukan raja'.
Bukan ke orang Thailand terkenal dengan menghormati raja? Kenapa sekarang rebel?
Sebabnya mudah saja. Dalam politik Thailand, raja, tentera dan elit kapitalis lama adalah sekutu. Jadi sebarang cabaran kepada tentera semestinya datang dengan cabaran kepada raja sekali.
Walaupun Thailand mengamalkan sistem monarki berperlembagaan (kuasa raja dihadkan oleh perlembagaan bertulis), namun raja kembali menjadi pemain politik sejak zaman Bhumibol Adulyadej (1946-2016).
Bhumibol ialah raja ke-9 Dinasti Chakri yang diasaskan pada tahun 1782. Raja-raja Chakri memakai gelaran 'Rama', bermula dengan Rama I (Thongduang). Bhumibol ialah Rama IX.
Sebelum Bhumibol menaiki takhta, institusi raja Thailand mengalami krisis kewujudan dengan Revolusi Siam 1932.
Seperti negara-negara lain, Thailand pada awal abad ke-20 (waktu tu masih dikenali sebagai Siam) juga dilanda oleh tren anti-monarki sedunia.
Kebanyakan monarki samada dimansuhkan dan digantikan dengan republik (macam Portugal tahun 1910, China tahun 1912, Rusia tahun 1917), atau monarki mutlak digantikan dengan monarki berperlembagaan (macam Turki tahun 1908).
Revolusi Siam dicetuskan oleh sekumpulan intelektual pro-demokrasi dan tentera. Hasil daripada revolusi, kuasa eksekutif diturunkan kepad perdana menteri yang dipilih secara demokratik. Raja hanya berfungsi sebagai ketua negara simbolik.
Kemudian tentera merampas kuasa dari golongan pro-demokrasi, maka bermula lah sejarah tentera menjadi pemain politik Siam/Thailand.
Dan pada tahap awal, tentera sangat anti-raja. Pemimpin tentera seperti Plaek Phibunsongkram yang jadi PM dari tahun 1938-1944 dan 1948-1957 hampir-hampir nak mansuhkan raja (jangan pelik dengan namanya sebab 'plaek' memang bermaksud 'pelik').
Tapi keadaan berubah dengan pertabalan Bhumibol pada tahun 1946.
Bhumibol menggantikan abangnya Anand Mahidol yang mangkat pada usia 20 tahun dalam keadaan misteri (ditemui mati ditembak pistol, tapi pembunuh tak dapat dikenalpasti).
Dikhabarkan Bhumibol tahu cerita sebenar tentang kemangkatan abangnya, jadi dia diugut oleh golongan pro-demokrasi dan tentera. Kalau tak ikut kehendak diorang, dia pun akan dibuang atau mengalami nasib yang sama.
Jadi Bhumibol mempunyai keinginan 'survive' yang tinggi, berusaha untuk mengubah kedudukannya dengan mencari sekutu yang boleh melindunginya.
Dan Bhumibol pun menjumpai sekutu tersebut. Namanya Sarit Thanarat, seorang pemimpin tentera yang bersaing dengan Phibunsongkram.
Musuh kepada musuh adalah kawan saya. Bhumibol dan Sarit berkongsi musuh yang sama (Phibunsongkram) jadi bekerjasama. Sarip selaku tentera tak terikat dengan ideologi macam golongan pro-demokrasi, jadi tak ada masalah nak 'U-turn' dari pengimbang raja jadi pendukung raja.
Pada tahun 1957, Sarit melancarkan kudeta gulingkan Phibulsongkram. Untuk mengabsahkan kuasanya sebagai PM, Sarit mempergunakan Bhumibol. Sarit menggubal undang-undang lèse majesté yang melarang raja dikritik, dan mempromote imej Bhumibol sebagai 'dharmaraja'.
Dhamaraja ialah konsep dalam Buddhisme aliran Theravada di Thailand. Dharmaraja dikatakan raja yang jadi pelindung agama dengan memiliki 'bun' & 'barami'. Kalau diterjemahkan ke dalam Bahasa Inggeris boleh membawa maksud 'merit' & 'virtue'. Kira macam 'daulat' pada raja Melayu.
Sarit galakkan Bhumibol pergi mencemar duli beramah mesra rakyat, menonjolkan sisinya yang dikaitkan dengan sifat bun-barami. Dengan ini rakyat kembali suka dengan institusi raja yang dilabel kolot oleh pencetus Revolusi 1932.
Bhumibol pun bukan sekadar jadi boneka tentera. Dia mengembangkan 'Crown Property Bureau' dengan menjadi pelabur dalam syarikat-syarikat utama Thailand, mengumpul berbilion-bilin asset dan menjalin hubungan dengan pemilik syarikat.
Maka terbentuklah segi tiga raja-tentera-kapitalis yang mendominasi politik Thailand sehingga kebangkitan demokrat-populis seperti Thaksin.
Kelebihan Bhumibol ialah dia betul-betul adil pada semua golongan walaupun dia adalah sebahagian 'establishment'. Semasa protes tahun 1973, Bhumibol guna prestij-nya untuk menitah supaya kerajaan tentera digantikan dengan demokrasi.
Begitu juga pada tahun 1992, Bhumibol sekali lagi 'menyelamatkan' negara dengan memaksa tentera menuruti kehendak orang ramai dan mengiktiraf kerajaan orang awam.
Namun barami tak dapat diwarisi. Vajiralongkorn tak seperti ayahandanya. Malah sebelum dia jadi raja lagi dia tidak popular di kalangan rakyat sebab gaya hidup yang berfoya-foya. Bun-barami hampir tak wujud padanya.
Bhumibol sendiri pun bimbang institusi raja tak dapat survive di tangan Vajiralongkorn. Banyak kali dia tundakan pelepasan takhta walaupun usia dah lanjut dan memerintah lebih 60 tahun. Dan Bhumibol pun tak ada pilihan sebab Vajiralongkorn adalah satu-satu anak lelakinya.
Selepas Bhumibol mangkat, Vajiralongkorn ditabalkan sebagai Rama X. Namun Vajiralongkorn pun tak nampak ada usaha untuk mempertahankan legasi ayahandanya.
Selain kehidupan peribadi yang cacamarba, benda yang paling basic bagi mana-mana pemerintah iaitu menunjukkan solidariti bersama rakyat di waktu musibah pun Vajiralongkorn gagal lakukan.
Di waktu rakyat bergelut dengan ancaman COVID kepada nyawa dan pendapatan, Vajiralongkorn dilaporkan telah bercuti di hotel mewah Sonnenbichl di Bavaria, Jerman bersama-sama gundiknya. Maka tak hairan rakyat meletup.
Rakyat Thailand tidak dilahirkan terus mengidolakan raja. Diorang mentaati raja atas pegangan Buddhis diorang. Macam dalam Islam, hukum mentaati raja hanya kepada yang adil dan hak sahaja.
Di zaman Bhumibol, golongan pro-demokrasi tak berani lebih-lebih dalam mencabar institusi raja. Tapi di era Vajiralongkorn, kem pro-demokrasi pun rasa tibalah masanya untuk mencabar monarki yang dianggap sebagai penghalang pendemokrasian.
Disebabkan lately orang sangat concern dengan tahap akademik status FB dan Twitter penulis TP, so berikut adalah buku-buku yang dirujuk.
Share this Scrolly Tale with your friends.
A Scrolly Tale is a new way to read Twitter threads with a more visually immersive experience.
Discover more beautiful Scrolly Tales like this.