Danial Aziz Ahmad Profile picture
Penulis buku #FilemMelayuYangHilang • Link - https://t.co/Eo4HPn9O8j • Akan datang: #KatalogFilemMalaysia 🇲🇾

Jul 3, 2021, 21 tweets

Mahmud June ialah seorang pelakon yang serba boleh. Di Cathay Keris, beliau sangat terkenal dengan watak jahat. Tetapi di tangan P.Ramlee, Mahmud June bertukar menjadi seorang pelakon lawak dengan watak Pak Maon.

Mahmud June atau nama sebenarnya Mahmood Junit bin Derani lahir pada 20 Januari 1921 di Kampung Titi Gajah, Alor Setar, Kedah. Beliau mendapat pendidikan awal di Pondok Haji Ngat yang terletak berhampiran dengan rumahnya.

Mahmud June pernah bekerja sebagai tukang sapu dan penjual tiket di Grand Jubilee Opera, Ipoh. Di sinilah dia mula terdedah dengan seni lakonan sehingga menjadi seorang pelakon bangsawan yang terkenal pada tahun 1940-an dan
1950-an.

Sejak berlakon filem di Cathay Keris pada 1958, Mahmud June sangat terkenal dengan watak penjahat seperti Panglima Merak Hitam (Noor Islam), Pateh Karma Wijaya (Hang Jebat), Awang Sulong (Sri Mersing), Megat Rambai (Jalak Lenteng), ...

... Tun Bija Ali (Sultan Mahmood Mangkat Di-Julang) dan Bija Sura (Dang Anom).

Lakonannya sangat berkesan dan menimbulkan rasa benci penonton kepadanya. Malah di satu peringkat, Mahmud June pernah diludah oleh penonton yang baru keluar daripada panggung wayang selepas menonton filem Sultan Mahmood Mangkat Di-Julang.

Selepas kontraknya dengan Cathay Keris tamat pada tahun 1962, Mahmud June berhijrah ke Studio Merdeka di Kuala Lumpur. Di awal kerjaya lakonnya di Kuala Lumpur, Mahmud June masih diberi watak jahat seperti di Cathay Keris.

Ketika P. Ramlee mengarahkan Sitora Harimau Jadian, filem pertamanya di Kuala Lumpur, Mahmud June telah dipilih untuk memegang watak sebagai Sitora, seekor harimau jadian yang sering mengganggu penduduk Kampung Kiambang.

Kemudian P. Ramlee telah mengubah gaya lakonan Mahmud June daripada crook kepada komedi dalam filem Masam2 Manis (1965) dan Do Re Mi (1966).

Tapi, watak Mahmud June yang paling diingati sampai ke hari ini ialah Pak Maon dalam filem Nasib Do Re Mi (1966). Mentang-mentanglah ada menari twist, 10 tiket dia balun. Lepas tu dia berjoget sakan di Malam Pesta Muda Mudi sampai bentara guru datang serang.

Ada satu kisah menarik tentang watak Pak Maon yang tak ramai orang tahu.

Dalam satu temubual bersama @hidiralirazali pada tahun 1998, Mahmud June pernah bercerita tentang bagaimana babak baca buku sejarah dalam filem Nasib Do Re Mi itu tercipta.

Menurut kata Mahmud June, dalam babak asal Pak Maon hanya perlu duduk berehat di atas kerusi sambil membaca surat khabar.

Ketika menunggu babak itu diambil, Mahmud June duduk di satu sudut sambil baca sebuah buku syair. P. Ramlee yang ketika itu sedang sibuk memberi penerangan kepada semua kru yang terlibat tiba-tiba terdengar suara Mahmud June bersyair.

Tiba-tiba P.Ramlee berkata: "Cilaka! Buat macam ni bang!" dengan nada bersungguh-sungguh. Mahmud June tergamam dan bertanya, "Buat apa Ramlee?"

P. Ramlee jawab: "Aku nak abang buat syair ni!". Mahmud June tanpa banyak soal mengikut arahan P. Ramlee. Surat khabar yang sepatutnya dibaca oleh Pak Maon dalam babak itu digunting-gunting dan ditampal dalam sebuah buku latihan untuk dijadikan prop.

Itulah kisah bagaimana babak Pak Maon baca buku sejarah dalam filem Nasib Do Re Mi boleh tercipta. Ia terjadi dengan spontan saja!

Watak Pak Maon ini adalah salah satu simbol kekuatan yang ada dalam filem Nasib Do Re Mi. Ternyata Mahmud June mampu untuk membawa watak lucu sama seperti menghidupkan watak penyangak.

Salut kepada Mahmud June.

Tamat kisah Mahmud June dengan watak ikoniknya. Terima kasih kerana sudi baca bebenang ini 🙏🏼

@hidiralirazali @RepairGambarRGL Terputus ke 😅 Boleh sambung baca di sini

[PEMBETULAN] Nama sebenar Mahmud June ialah Mahmood bin Derani. Terima kasih saudara @fauziAzlan kerana berkongsi maklumat ini.

Share this Scrolly Tale with your friends.

A Scrolly Tale is a new way to read Twitter threads with a more visually immersive experience.
Discover more beautiful Scrolly Tales like this.

Keep scrolling