Pertemuan saya dengan Tuan Syed Azmi, Penasihat Rumah Bonda pada hari ini membawa saya ke Rumah Bonda. Pada mulanya, saya masih tidak dapat menggambarkan apa itu Rumah Bonda. Pusat perlindungan? Pusat transit? Pusat penjagaan kanak-kanak?
Setibanya di sana, saya terkesima. Terasa ketat di dada. Rasa sebak dan terharu datang tiba-tiba. Rumah Bonda adalah sememangnya sebuah “rumah” yang indah.
Saya disambut para ibu muda dan bayi-bayi yang comel. Melihat wajah jernih anak-anak ini, saya rasa amat gembira kerana wujudnya Rumah Bonda sebagai tempat mereka berteduh. Tuan Syed Azmi membawa saya meninjau dapur. Bersih dan penuh bekalan makanan. Rumah tersusun kemas.
Apa yang berbezanya dengan rumah biasa adalah, Rumah Bonda menempatkan remaja hamil bawah umur dan bayi terbuang.
Sama seperti Darussadah @maiwphq yang juga menyediakan tempat perlindungan kepada remaja hamil bawah umur dan bayi terbuang. Tetapi ada sesuatu yang istimewa di sini, jauh di sudut hati saya.
Saya mengambil peluang untuk beramah mesra dengan mereka, begitu juga dengan Cik Siti Bainun selaku pengasas Rumah Bonda. Sumbangan berjumlah RM2,000 disampaikan kepada Rumah Bonda, berserta duit raya kepada penghuni Rumah Bonda dan anak-anak kecil ini.
Pesan saya kepada mereka, “Usah putus asa untuk terus pandang ke hadapan. Sentiasalah berpaut kepada agama-Nya, insya-Allah segala urusan akan dipermudahkan.”
“Apa yang telah berlaku, mungkin sahaja satu dari episod kehidupan yang ditentukan Allah SWT untuk melihat diri kita selangkah lebih mendekati-Nya.”
Saya sayang mereka semua dan anak-anak kecil ini. Indah-Nya rahmat Allah SWT, kasih-Nya tidak pernah memilih. Mereka juga perlu sokongan anda semua di luar sana. Saya akan kembali lagi ke sini, insya-Allah.
Share this Scrolly Tale with your friends.
A Scrolly Tale is a new way to read Twitter threads with a more visually immersive experience.
Discover more beautiful Scrolly Tales like this.