My Authors
Read all threads
Jantina: "Nature vs Nurture".

Menurut kau, jantina seseorang ini ditentukan melalui apa?

Adakah ia ditentukan melalui fizikal ketika individu itu dilahirkan atau dipilih ibu bapa dan mengikut cara individu itu dibesarkan?

Thread kisah tragis David Reimer..
Pertengahan tahun 1960-an, telah berlakunya satu peristiwa yang ‘menggegarkan’ dunia perubatan psikiatri pada waktu itu apabila seorang ahli psikologi dan seksologi dikenali sebagai Dr. John Money, yang bertugas di Hospital John Hopkins, Amerika Syarikat, telah bertindak..
memberi ‘nasihat’ dan galakan kepada pasangan Reimer untuk membuat satu keputusan yang sangat sukar bagi golongan ibubapa.

Iaitu, dengan membenarkan anak lelaki mereka David Reimer, membuat pembedahan pertukaran jantina.
Anda terlebih dahulu perlu tahu bahawa keputusan pembedahan pertukaran jantina tersebut dibuat bukan kerana ia adalah kemahuan ibu bapa David.
Tetapi, prosedur itu terpaksa dilakukan kerana David Reimer yang dilahirkan sebagai seorang lelaki, telah mengalami kecederaan parah yang ‘tidak dapat diperbetulkan lagi’ pada alat kelaminnya, semasa beliau masih bayi.
Bermula dari masalah kesihatan.

Dilahirkan sebagai Bruce Peter Reimer pada tanggal 22 Ogos 1965 di Winnipeg, Ontario, Kanada, beliau adalah anak lelaki kepada pasangan Ron dan Janet Reimer.
Sewaktu berumur 6 bulan, kedua-dua Bruce dan kembarnya yakni Brian, telah didiagnos dengan phimosis.

“Apa benda phimosis ni?”

Phimosis adalah satu kondisi perubatan yang mana kulit (kulup) pada bahagian kepala zakar (glans penis) itu tidak dapat ditarik ke belakang.
Ini menyebabkan kedua-dua beradik tersebut mengalami kesukaran dan kesakitan ketika mahu membuang air kecil. Namun tidak lama kemudian, kondisi phimosis Brian telah sembuh dengan sendiri dengan masa. Tetapi tidak bagi Bruce.
Oleh itu, pada 27 April 1966, ibubapa Bruce telah membawa beliau yang masih bayi itu untuk disunat atau dikhatankan. Khatan ini adalah prosedur yang biasa dilakukan oleh masyarakat dunia. Terutamanya oleh masyarakat muslim dan yahudi.
Ia membabitkan proses membuang kulup atau kulit yang terdapat pada bahagian hujung kemaluan lelaki.

Kebiasaannya, prosedur ini dijalankan dengan menggunakan skalpel atau alatan tajam lain.
Walau bagaimanapun, ahli perubatan yang bertugas melaksanakan prosedur itu ke atas Bruce, telah menggunakan teknik “cauterization”.

Atau dalam erti kata lain menggunakan mesin yang mengalirkan arus elektrik untuk membuang lebihan kulit tersebut.
Ketika prosedur itu sedang berlangsung, mesin tersebut dikatakan telah mengalami kerosakan.

Perkara ini menyebabkan berlakunya kemalangan dan malangnya, keseluruhan alat kelamin Bruce yang masih bayi itu melecur dan mengalami kecacatan kekal.
Beberapa bulan kemudian, Ron dan isterinya Janet Reimer sedang menonton sebuah program televisyen yang memberikan mereka sinar harapan.
Dr. John Money, seorang ahli psikologi dan seksologi ternama, menjadi tetamu jemputan di dalam program perdebatan tentang pembedahan pertukaran jantina bagi golongan transeksual.
Dr. Money dapat dilihat bersama seorang individu transeksual yang memiliki ciri-ciri feminin dan kelihatan seperti seorang wanita sebenar.
Terlintas dalam fikiran Janet Reimer; “Mungkin ini sahajalah jalan penyelesaian bagi permasalahan yang dihadapi oleh Bruce.” Yakni dengan membuat pembedahan pertukaran jantina Bruce daripada seorang lelaki kepada seorang perempuan.
Janet kemudian segera mengutuskan sepucuk surat kepada Dr. Money. Setelah menerima surat tersebut, Dr. Money mempelawa mereka sekeluarga untuk melawat beliau di Baltimore, Maryland.
Siapa Dr. Money?

Sedikit latar belakang mengenai Dr. Money; seperti yang telah dinyatakan di atas, beliau merupakan seorang ahli psikologi dan seksologi yang ternama sebelum mengenali keluarga Reimer lagi.
Selain itu, beliau merupakan salah seorang daripada pelopor dan penyokong terhadap sebuah idea ‘radikal’ tentang psikologi di sebalik identiti dan peranan jantina.
Dalam karya akademik beliau, Dr. Money menyatakan bahawa jantina seseorang individu itu tidak tetap mengikut ciri fizikal individu tersebut ketika dia dilahirkan. Membawa maksud jantina itu boleh diubah mengikut ‘acuan’ masyarakat, dan masih boleh ‘dibentuk’ dari kecil.
Beliau menggunakan dapatan daripada kajian kes terhadap individu khunsa (mempunyai ciri fizikal kedua-dua lelaki dan perempuan) untuk menyokong idea itu, seterusnya membuktikan kepada pasangan Reimer bahawa terdapat satu tempoh peluang..
..atau “window of opportunity” yang diberi terma “gender gate”, untuk Bruce menjalani pembedahan pertukaran jantina. Menurut Dr. Money lagi, tempoh masa itu akan tamat apabila seseorang individu itu berumur 2 tahun.
Disebabkan perkara itu, Dr. Money berpendapat, ibu bapa adalah orang yang bertanggungjawab ‘memilih’ jantina anak mereka, selain daripada bagaimana cara anak itu dibesarkan.
Dan 2 perkara ini menurut beliau lagi merupakan faktor utama menentukan jantina anak tersebut, dan bukannya ciri-ciri fizikal yang terdapat pada anak itu ketika dilahirkan.
Tetapi sehinggalah sampai ke saat beliau berkesempatan untuk bertemu dengan keluarga Reimer, Dr. Money tidak berpeluang menguji teori itu, lebih-lebih lagi dengan individu yang bukan khunsa.
Oleh itu, bagi beliau, kes Bruce Reimer ini adalah ‘peluang yang tidak boleh dilepaskan’. Yang mana beliau berjaya mendapatkan subjek kajian yang sesuai iaitu pasangan kembar seiras lelaki, dan salah seorang daripada kembar tersebut bakal dibesarkan sebagai seorang perempuan.
Ini kerana, sebagai kembar seiras dan dibesarkan dalam keluarga yang sama, adik-beradik Reimer ini dianggap Dr. Money sebagai subjek kes yang ideal untuk kajian psikologi terhadap jantina.
Bruce bakal menjadi kanak-kanak pertama didokumenkan menjalani proses pertukaran jantina, walaupun telah dilahirkan normal sebagai kanak-kanak lelaki, manakala Brian boleh dijadikan (“control”), disebabkan Brian ini berkongsi genetik dan persekitaran yang sama dengan Bruce.
Sehubungan dengan itu, Dr. Money menyatakan untuk Bruce dibesarkan sebagai seorang perempuan adalah yang terbaik untuknya.
Selain daripada fakta bahawa, ia lebih mudah untuk membuat pembedahan pertukaran jantina seseorang individu untuk menjadi seorang perempuan, daripada perempuan ke lelaki.
Pembedahan.

Selepas mendapatkan khidmat nasihat daripada Dr. Money, pasangan Janet dan Ron Reimer akhirnya berbuat keputusan untuk membesarkan Bruce sebagai seorang perempuan. Bruce telah menjalani pembedahan pertukaran jantina di Hospital John Hopkins.
Pakar perubatan memulakan prosedur tersebut dengan membuang testis dan zakar yang rosak, seterusnya membuat vulva vestigial dan saluran vagina bagi menggantikan tempat testis dan zakar tersebut.
Selepas pembedahan itu berjaya, Bruce telah ditukar namanya kepada Brenda, dan pasangan Reimer membesarkan beliau sebagai seorang perempuan. Sepanjang zaman kanak-kanak Brenda a.k.a Bruce, beliau tidak mengetahui akan jantina asalnya, iaitu seorang lelaki.
Pemeriksaan berkala oleh Dr. Money.

Tanggungjawab Dr. Money tidak terhenti begitu sahaja selepas pembedahan. Ini kerana, Brenda masih diperlukan untuk kajian dan hadir bagi mendapatkan pemeriksaan tahunan.
Selain Brenda, Brian kembar lelakinya juga turut menjadi sebahagian daripada kajian beliau tentang perkembangan seksual dan jantina kanak-kanak. Dan bermulalah sisi gelap dalam peristiwa ini.
Semasa pasangan kembar ini menjalani sesi pemeriksaan psikiatri oleh Dr. Money, Brenda dan Brian yang masih kanak-kanak, telah diarahkan untuk memeriksa alat kelamin satu sama lain serta diminta untuk membuat pergerakan yang menyerupai gerakan dalam persetubuhan.
Brenda turut mendakwa bahawa kebanyakan daripada ‘rawatan’ dan pemeriksaan Money, melibatkan paksaan dalam ‘lakonan’ posisi persetubuhan bersama-sama kembarnya Brian.
Dalam satu temubual bersama Rolling Stone, Brenda Reimer memperingati akan satu peristiwa yang mana Dr. Money telah mengambil gambar mereka berdua dalam keadaan tanpa seurat benang untuk sekurang-kurangnya sekali.
Brenda turut menyatakan bahawa, pemeriksaan itu sama ada dilakukan oleh Dr. Money secara berseorangan, atau secara berkumpulan bersama 6 rakan sekerjanya yang lain.
Selain itu, Dr. Money telah menunjukkan gambar-gambar “explicit” seorang wanita yang sedang melahirkan anak kepada Brenda semasa beliau berumur 7 tahun, sebagai satu cubaan untuk memujuk kanak-kanak itu supaya bersetuju membuat pembedahan menghasilkan vagina
Kemudian apabila Brenda berumur 12 tahun, Dr. Money berpendapat Brenda lebih baik diberikan tablet hormon estrogen bagi menggalakkan pertumbuhan payudara.
Kerana menurut Dr. Money dan saintis-saintis lain yang bersependapat, ini adalah langkah terbaik untuk meyakinkan Brenda akan jantina ‘perempuannya’.
Penerbitan Kajian

Mengikut pemahaman Dr. Money sendiri, perubahan Bruce-Brenda merupakan satu proses yang berjaya. Seterusnya beliau mendakwa kelakuan Brenda yang ‘seakan’ perempuan itu berlawanan dengan kelakuan Brian yang lebih kelakian.
Tetapi adakah ia benar terjadi seperti yang didakwa?

Semasa Brenda berumur 5 tahun lagi, Dr. Money telah memulakan penerbitan kajian kes “Bruce-Brenda”, namun merahsiakan identiti Brenda, dengan memperkenalkan kanak-kanak itu sebagai “Joan/John”.
Kes tersebut serta merta menjadi sensasi dan menjadi buah mulut orang ramai pada waktu itu. Dapatan daripada kajian Dr. Money ini telah digunakan sebagai bukti dan hujah oleh “golongan tertentu” bagi membuktikan dakwaan mereka bahawa ia adalah “Nuture” (cara dibesarkan)..
..dan bukannya “Nature” (ciri dilahirkan) yang menentukan sama ada manusia itu akan bersifat feminin atau maskulin.

Selain itu, kes ini juga dianggap sebagai penanda aras dan bukti “power of nuture” serta seringkali dipetik di dalam buku.
Pada masa yang sama, kedua-dua Brian dan Brenda tidak menyedari akan hakikat berkenaan data-data yang dikumpulkan dari pemerhatian dan kajian Dr. Money ke atas mereka, telah digunakan untuk menguatkan atau menjadi bukti kepada teori “gender fluidity” yang diusulkan beliau..
..yang seterusnya menjadi justifikasi kepada ribuan prosedur pembedahan pertukaran jantina untuk kanak-kanak yang dilahirkan dengan alat kelamin yang tidak normal.
Kesan kepada Bruce a.k.a Brenda.

Walau apa yang dilaporkan oleh Dr. Money, keadaan di kediaman keluarga Reimer tidak lah seperti yang disangka.
Brenda mempamerkan kelakuan seperti lelaki berbanding seorang perempuan. Beliau gemar berlari, bergaduh, memanjat atau dalam erti kata lain, melakukan perkara-perkara yang dilakukan oleh budak lelaki.
Malangnya, disebabkan oleh kelakuan dan fizikalnya, Brenda senantiasa dibuli rakan sebaya semasa di sekolah. Beliau mendakwa, walaupun dengan rawatan hormon, memakai pakaian perempuan, dan digalakkan untuk melakukan perkara-perkara dilakukan oleh seorang budak perempuan..
..masih tidak mencukupi kerana jauh di dalam lubuk hati beliau dapat merasakan bahawa beliau sebenarnya seorang budak lelaki.
Lama kelamaan, Brenda dapat merasakan tekanan mula memuncak di dalam diri, dan berasa sunyi oleh kerana Brian kembarnya, enggan bermain bersama di hadapan rakan sebaya lain dek kerana malu.
Selain itu, Brenda turut melaporkan bahawa beliau berasa tidak selesa dengan ‘jantina yang baru’ ini, atau terma saintifiknya, “gender dysphoria”. Faktor-faktor seperti yang telah dinyatakan ini menjurus kepada rasa benci Brenda untuk melawat dan menjalani pemeriksaan Dr. Money.
“The Truth”.

Semasa Brenda berumur 13 tahun, dia pernah mengugut untuk membunuh diri sendiri sekiranya ibu bapa beliau berkeras untuk membawanya berjumpa dan menjalani pemeriksaan tahunan Dr. Money.
Tidak lama kemudian bapanya Ron Reimer akhirnya mendedahkan semua yang berlaku kepada Brenda dan juga Brian. Mereka berdua berumur 15 tahun pada ketika itu.
Brenda yang menurut beliau “hampir merasakan dirinya gila”, berasa sangat lega akan pendedahan bapanya itu. Pandangannya terhadap dunia, malah dunianya sendiri telah berubah 360 darjah.
Brenda mengubah penampilan dan perwatakannya kepada lelaki dan berbuat keputusan untuk menukar namanya kepada David.
Apabila berumur 21 tahun, “David” yang telah menerima wang pampasan daripada kemalangan berkhatan semasa beliau kecil itu, menggunakan wang tersebut untuk membuat pembedahan plastik bagi membuang payudara, mendapatkan zakar serta mendapatkan terapi hormon testosteron.
Pada 22 September 1990, David mengahwini Jane Fontaine.
Pendedahan David Reimer.

Walaupun kecelaruan identiti telahpun bertahun-tahun berlalu, malangnya kesannya masih dapat dirasai oleh David. Menurut beliau, eksperimen-eksperimen dan pemeriksaan Dr. Money telah memberikan trauma psikologi yang mendalam.
Pertengahan 90-an, David bertemu dengan seorang ahli psikologi dari Universiti Hawaii yang dikenali dengan nama Milton Diamond.
Seorang pesaing Money dalam dunia akademik, Dr. Diamond pula membuat kajian balas berkenaan kajian “Joan/John” Dr. Money. Hasil kajian Dr. Diamond tersebut berjaya mendapatkan beberapa kepincangan dalam kajian “Joan/John”.
Bermula tahun 1997, David Reimer mula menceritakan pengalamannya secara terbuka. Temubual pertama beliau dibuat oleh John Colapinto untuk majalah Rolling Stone. Dengan pendedahan David Reimer, ramai pakar mula mempersoalkan keabsahan kajian Dr. Money.
Pengakhiran.

Walaupun hidup David Reimer telah berubah, namun hubungan dengan kembarnya Brian, telah mula memburuk semenjak daripada pendedahan yang dibuat oleh bapa mereka.
Kerana ketika membesar, “Brenda” atau David menerima perhatian yang lebih daripada ibubapa mereka yakni Janet dan Ron Reimer.

Tidak lama kemudian, Brian mula mengalami gangguan mental yang akhirnya menjurus kepada skizofrenia.
Selepas 2 kali perkahwinannya gagal, Brian ditemui mati akibat pengambilan dadah yang berlebihan.

Bagi David Reimer yang tidak berpeluang untuk menamatkan pengajian sekolah pula, terpaksa bekerja sebagai pekerja separuh mahir.
Dengan menjual hak perfileman berkenaan dirinya, mendapatkan beliau sejumlah wang. Malangnya, beliau kehilangan wang tersebut selepas ditipu oleh seorang ahli perniagaan yang melarikan wang pelaburannya itu.
Satu demi satu ujian yang diterima David, telah mengakibatkan dirinya murung. Kemurungan tersebut telah menjejaskan perkahwinannya. Tidak lama kemudian, isterinya Jane meminta untuk berpisah sementara waktu (ada sumber mengatakan bercerai).
David kembali ke rumah ibubapanya di Winnipeg. Beberapa hari kemudian, iaitu pada 4 Mei 2004, David memandu ke kawasan parkir pasaraya berhampiran, sebelum membunuh diri dengan menembak kepalanya dengan sepucuk senapang patah. David Reimer berumur 38 tahun pada hari kematiannya.
Dr. Money bagaimanapun dilaporkan berkata bahawa beliau tidak boleh dipersalahkan atas kejadian (David tidak menerima jantinanya sebagai seorang perempuan) tersebut.
Menurut Dr. Money lagi, kelewatan pasangan Reimer membuat keputusan pembedahan pertukaran jantina sehingga menghampiri tempoh “gender gate” telah menjadi faktor yang menyumbang kepada kecelaruan identiti.
Walaubagaimanapun, saintis lain dan orang ramai berpendapat bahawa “Dr. Money sepatutnya mengaku akan kesilapan dan menghentikan eksperimen setelah ia benar tidak berkesan terhadap perubahan Bruce-Brenda”.
Mungkin kisah ini boleh dijadikan iktibar dan pengajaran untuk kita semua.

RIP David Reimer
Missing some Tweet in this thread? You can try to force a refresh.

Enjoying this thread?

Keep Current with Shahmil Hafiz

Profile picture

Stay in touch and get notified when new unrolls are available from this author!

Read all threads

This Thread may be Removed Anytime!

Twitter may remove this content at anytime, convert it as a PDF, save and print for later use!

Try unrolling a thread yourself!

how to unroll video

1) Follow Thread Reader App on Twitter so you can easily mention us!

2) Go to a Twitter thread (series of Tweets by the same owner) and mention us with a keyword "unroll" @threadreaderapp unroll

You can practice here first or read more on our help page!

Follow Us on Twitter!

Did Thread Reader help you today?

Support us! We are indie developers!


This site is made by just two indie developers on a laptop doing marketing, support and development! Read more about the story.

Become a Premium Member ($3.00/month or $30.00/year) and get exclusive features!

Become Premium

Too expensive? Make a small donation by buying us coffee ($5) or help with server cost ($10)

Donate via Paypal Become our Patreon

Thank you for your support!