Anak umur 1 tahun setengah jatuh dari kerusi di rumah pengasuh.
Pengasuh kata memang kepala yang hentam pada lantai dulu sebab jatuh depan mata dia sendiri.
Sunyi sepi sekejap lepas tu barulah dia mula menangis perlahan.
Pengasuh pujuk-pujuk, tak lama lepas tu dia pun diam.
Pengasuh ingatkan dia tidur, jadi dia maklumkan pasal kejadian tu pada mak ayah.
Petang bila mak ayah sampai, anak masih lagi tidur. Maknya pula tak sedap hati, terus dia segera bawa ke hospital.
Maknya paling risau kalau retak tempurung kepala dan kalau-kalau sampai ada pendarahan dalam otak.
Dari luaran mungkin nampak tak serius tapi kita tak nampak apa kesan hentakan pada otak budak kecil tu.
Bila buat ujian imbasan otak, rupanya dah ada pendarahan dalam otak. Waktu tu, pernafasan dia dah mula jadi perlahan.
Terpaksa doktor di Jabatan Kecemasan masukkan tiub pernafasan dan terus dihantar ke hospital besar.
Esok paginya terus buat pembedahan buka tempurung kepala dan keluarkan darah beku yang ada.
Syukurnya anak kecil ni selamat dan makin sihat. Cuma sampai sekarang bahagian kanan kepala kosong sebab dah keluarkan tempurung kepala.
Kita mak ayah yang hantar anak pada pengasuh, bagusnya kalau kita boleh kongsi ilmu rawatan kecemasan awal pada penjaga anak kita juga.
Mereka ni kadang-kadang jaga anak kita sampai 10 jam sehari.
Saya nasihatkan baik bawa anak kecil yang belum pandai bercakap ke klinik/ hospital kalau ada tanda-tanda BAHAYA ni :
🚨 Muntah-muntah.
🚨 Sawan
🚨 Pengsan
🚨 Kelihatan mengantuk dan sukar dikejutkan.
🚨 Mula bertutur perkara yang tak difahami atau kelihatan keliru.
🚨 Ada luka yang pendarahannya tak berhenti-henti.
🚨 Pada kepala tu ada benjolan yang terlampau besar.
🚨 Ada cecair atau darah keluar daripada hidung atau telinga anak. Boleh jadi tulang kepala dah retak.
Itu semua tanda kemungkinan besar dah ada kecederaan pada otak dan tempurung kepala anak. Jadi jangan berlengah.
Tempoh 24 jam selepas terjatuh sangat kritikal untuk kita perhatikan keadaan anak.
Ada pendarahan dalam otak berlaku perlahan-lahan dan tanda bahaya ni muncul hanya selepas beberapa jam kejadian.
Jika anak kita tu kekal aktif dan tak ada tanda bahaya, selalunya tak ada perkara serius akan berlaku pada dia.
Benda ni bila dah berlaku, mak ayah memang akan panik. Dengan ada sedikit ilmu, insyaAllah kita boleh lebih bertenang.
Saya banyak kongsikan ilmu kesihatan bayi dan kanak-kanak serta ilmu kekeluargaan di Channel Telegram rasmi saya ▶️ t.me/NotaRedzaZainol