Nyenyak malam diganggu dengan bunyi aneh di atas siling.
Didengari beberapa kali, menyebabkan sepasang suami-isteri sedar ianya adalah bunyi guli berlaga yang bertubi-tubi.
Sang suami dikejutkan isteri. "Bang, dengar tak tu?"
Suami yang mamai bertanya. "Dengar apa?"
"Cuba dengar betul-betul."
Encik Hanafi yang berambut belah tepi mula fokus dan terdiam. Dia menjadi hilang sabar. "Tak guna betul orang atas ni, bila malam je nak buat bising."
Dia bangun meninggalkan katil, Isteri Encik Hanafi iaitu Puan Natifah terpinga-pinga. "Nak pergi mana tu bang?"
Encik Hanafi bergerak keluar tanpa sebarang kata.
Sifat panas barannya mula terserlah, dia mengambil kayu besbol hendak menggegar jiran yang berada di tingkat atas. "Ini makanan kau."
Encik Hanafi tinggal di rumah pangsapuri yang sudah lama usianya. Dia mengambil lif untuk naik ke tingkat atas dan mencari rumah yang berada di atas rumahnya.
Apabila tiba, dengan rasa geram, dia tidak menekan loceng malah mengetuk pintu sekuat hati. "Oi bukak pintu ni!!!"
Tapi tiada yang menyahut. Encik Hanafi menjadi semakin marah lalu mengherdik. "Ko jangan nak sembunyi, aku tahu ko ada kat dalam!!"
Semakin kuat dia mengetuk, semakin matanya terperasan akan surat-surat yang terselit di pagar pintu.
Itu ialah situasi apabila rumah sudah lama tidak berpenghuni, surat-surat itu tidak pernah dibuka dan berhabuk.
Dahi Encik Hanafi mula berkerut.
Dia berhenti mengetuk, sudah hampir 2 minggu dia diganggu dengan bunyi guli, mustahil rumah itu tidak berpenghuni.
Hatinya tidak tenteram ingin meneruskan rusuh kata. Tapi dia keliru.
Di tepi pintu ada tingkap gelongsor kaca yang gelap. Dia cuba mencuri lihat ke dalam rumah.
Selamat rumah itu tidak berlangsir yang akan menyembunyikan ruangan dalam. Agak gelap tanpa sebarang lampu, tapi dia cuba fokus ke dalam.
Akhirnya perlahan-lahan matanya berjaya melihat keadaan di dalam rumah.
Kelihatan kosong tanpa sebarang perabot. Hatinya mula berdegup laju, benaknya mempersoal. "Kalau ini rumah kosong, bunyi apa yang aku selalu dengar?"
Bulu romanya naik tanpa diminta, ada perasaan aneh ketika melihat keadaan rumah itu yang usang.
Tapi dia masih tidak berpuas hati. "Mustahil rumah ini kosong!!"
Sedang matanya meliar melihat, tiba-tiba dia tersentak. Ada gambar wanita dengan bingkai yang sangat besar tergantung pada dinding.
Gambar perempuan itu samar-samar, dia tidak dapat melihat dengan jelas.
"Uncle Mengendap apa tu?"
Muncul suara dari arah tepi menegur menambahkan lagi aroma tersentak dalam diri Encik Hanafi.
Jantungnya hampir meletup ditegur sebegitu.
Kelihatan suara itu datang dari seorang remaja yang baru pulang dari kelas malam.
Remaja itu ialah jiran kepada rumah tersebut.
Encik Hanafi menghampirinya bertanya. "Kau kenal owner rumah ni?"
"Owner rumah ni dah lama dah pindah sejak isteri dia meninggal. Jadi saya tak pernah lah jumpa, dulu saya duduk asrama."
Encik Hanafi tersentak menyoal lagi. "Habis siapa yang tinggal dalam rumah ni sekarang?"
"Mana ada orang tinggal. Dah lah, saya masuk dulu lah uncle." Ujar remaja itu melangkah masuk ke dalam rumahnya.
Encik Hanafi tidak puas hati, dia tidak dapat mempercayai kata-kata remaja itu.
Dia sekali lagi cuba mengendap ke dalam rumah.
Kali ini pandangannya lebih dalam ke arah dapur, kosong. Dia cuba lihat ke arah bilik, kosong.
Dia menghela nafas sambil hatinya bersuara. "Mungkin betul rumah ini kosong."
Tiba-tiba dari balik bilik keluar kepala seperti ingin mengendapnya juga. Mata Encik Hanafi terbeliak, dia tersentak sehingga jatuh terduduk. Jantungnya berdegup dengan lebih laju.
Tapi dia lansung tidak memikirkan perkara mistik. Malah berkata."Ada pencoroboh dalam rumah ni!!"
Seminggu sudah berlalu dari kejadian itu, di tempat yang lain di dalam kereta polis.
Dua orang polis sedang meronda-ronda di sekitar kawasan taman pada waktu malam.
Mereka baru sahaja berkenalan kerana salah satu dari mereka ialah polis yang baru berpindah ke balai polis di situ iaitu Afsar.
Tiba-tiba mereka mendapat panggilan untuk pergi ke sebuah pangsapuri. Hamzah yang pernah ke sana mula mengomel. "Aduh kes pak cik ni lagi."
Afsar terpinga-pinga. "Kenapa?"
"Masuk ni dah 3 kali dah dia buat aduan yang rumah atas dia ada pencoroboh."
"Aik, rumah dia kat bawah, macam mana dia boleh rasa yang kat atas ada penceroboh?" Soal Afsar kembali.
"Dia dengar bunyi orang main guli malam-malam kat rumah atas. Dia tak puas hati lah tu bising, jadi dia kata dalam rumah tu ada penceroboh."
"Jadi ada penceroboh ke?"
"Tiada, rumah kosong atas tu. Lagi pun setahu aku lah, rumah ni kalau bunyi guli tu sebenarnya tu bunyi air paip. Kalau rumah apartment or flat memang ada bunyi tu." Jelas Hamzah secara logik.
Mereka terus menuju ke rumah Encik Hanafi. Afsar hanya mengikut rentak Hamzah yang lebih mahir.
Di hadapan rumah Encik Hanafi, mereka diherdik. "Polis korupsi tak guna, ini dah 3 kali aku buat aduan, kau orang masih tak buat apa-apa. Sebab tu aku tak suka polis."
"Encik Hanafi, kami dah lakukan tanggungjawab kami. Kami dah periksa, rumah tu rumah kosong. Mustahil ada orang." Jelas Hamzah tenang.
"Habis kenapa masih ada bunyi guli tu??? Saya dan Isteri dah lama susah tidur tau." Marah Encik Hanafi lagi.
"Bunyi guli ni disebabkan water hammer effect encik. Bunyi air je. Mungkin encik kena hubungi pengurusan apartment ni, bukan kami." Kata Hamzah dengan yakin.
"Aku nampak memang ada orang dalam rumah tu. Ini tiada kena mengena dengan air."
Hamzah dan Afsar saling pandang, wajah mereka kelihatan keliru dengan kenyataan Encik Hanafi.
"Baiklah kami akan cuba periksa lagi sekali." Ujar Hamzah dengan keyakinan yang tinggi.
"Baik, aku harap kali ini tertangkap lah penceroboh tu."
Mereka membubarkan diri dari rumah Encik Hanafi menuju ke lif.
"Kita nak naik tingkat atas ke?" Soal Afsar.
Hamzah menekan butang lif untuk ke tingkat bawah sambil bersuara. "Tak yah kita balik je lah."
"Tapi bukan kau kata tadi nak cuba periksa ke?"
"Percayalah cakap aku, dia saje reka cerita dia nampak ada orang dalam rumah tu supaya kita masuk periksa kat dalam. Tak pasal-pasal nanti kita pula kena dakwa menceroboh."
Afsar tidak puas hati. "Tapi kau dah cakap macam tu kat dia. Nanti dia akan call kita lagi."
Ego Hamzah membalas. "Kalau kau rajin, kau naiklah atas periksa sendiri. Aku berani jamin kau takkan jumpa apa-apa. Tiada orang dalam rumah tu."
"Okay. Kau turun je lah dulu, aku periksa kat atas." Balas Afsar.
Di situ, mereka berpecah.
Afsar naik ke atas seorang diri. Dia tidak sampai hati ingin mengenepikan tanggungjawabnya dengan bekerja secara sambil lewa.
Dia tiba di tingkat tersebut dan mula mencari rumah yang berada di atas rumah Encik Hanafi.
Langkahnya terhenti di hadapan sebuah rumah yang ruangan dalamnya gelap gelita.
Terdapat surat-surat yang tidak diusik terselit pada pagar, hatinya bersuara. "Macam rumah kosong."
Dia mula mengetuk bertanya jika ada yang menghuni di dalam.
Tapi tiada sahutan. Ada bunyi dengung di dalam rumah bermaksud yang rumah itu kosong.
Jiwanya mula mempercayai kata-kata Hamzah. "Mungkin betul yang Encik Hanafi tu reka cerita."
Afsar menghela nafas berat sebelum mula melangkah ingin meninggalkan tempat itu.
Tapi hanya beberapa tapak, dia membeku....
Sayup-sayup dia dapat mendengar bunyi guli berlaga di dalam rumah itu.
Bulu romanya naik tanpa dipinta, jiwanya menjadi resah. Dia tidak pernah mengalami situasi tekanan seperti itu. Hanya dengan bunyi, jiwanya diragukan.
Afsar memusingkan badan ke arah rumah tersebut, bunyi itu hilang serta merta.
Ada separuh dalam jiwanya berkata. "Mungkin perasaan aku je. Aku tersalah dengar. Tadi bukan bunyi guli."
Masih penuh dengan tanda tanya di benak.
Jadi dia membuat keputusan berani untuk mengendap ke dalam seperti apa yang dilakukan oleh Encik Hanafi sebelum ini.
Pandangannya masuk sahaja ke dalam, terus tertancap pada gambar besar di dalam rumah itu.
Dia sedikit tersentak kerana wanita di dalam gambar itu matanya terbeliak seperti sedang melihatnya.
Senyuman di dalam gambar itu juga mengerikan.
Dia tidak dapat bertahan melihat gambar itu. Pantas mengalih pandangan ke dalam ruangan rumah.
Ruangan yang kosong. Rumah itu jelas kelihatan kosong tidak berpenghuni.
Matanya teralih pada satu arah di lantai hadapan bilik, dia mula fokus dan tidak sangka dengan apa yang di lihat.
Itu ialah guli. Memang ada guli di dalam rumah itu. Dia mula yakin yang Encik Hanafi tidak mereka-reka cerita.
Tiba-tiba muncul tangan dari dalam bilik mengambil guli itu dengan pantas.
Afsar terkejut melepaskan pandangannya, jantungnya berdegup laju sambil mempersoalkan dalam diri. "Ada orang ke dalam rumah ni?"
Pantas dia mengetuk pintu bertubi-tubi. Tapi dia juga tahu yang orang di dalam tidak akan keluar.
Dia juga tidak boleh menceroboh masuk, dalam masa yang sama dia semakin yakin dengan kenyataan Encik Hanafi.
Afsar masuk ke dalam kereta tergesa-gesa. Hamzah tersentak. "Terkejut aku. Amacam ada jumpa apa-apa tak? Tiada kan?"
"Ada. Ada orang dalam rumah tu, kita kena cari cara untuk tahan dia sebab menceroboh." Balas Afsar dengan yakin.
"Tahu lah kau dah malu yang sebenarnya takde apa-apa pun kat atas tu kan? Tak payah lah nak jadi macam si pak cik Hanafi tu sampai nak reka cerita."
Afsar menjadi bengang. "Aku tak reka cerita!!"
"Dah aku tak nak masuk campur dengan kau punya mengarut, aku dah ngantuk nak tidur." Ujar Hamzah sambil menguap.
"Baik kau baliklah, tinggalkan aku kat sini. Biar aku siasat." Degil Afsar.
"Suka hati kau lah."
Afsar ditinggalkan. Dia dengan yakin kembali ke tingkat tersebut dan duduk beberapa jarak jauh dari rumah itu.
Dia yakin yang penceroboh akan keluar juga akhirnya, dia harus bersedia.
Dia berjaya tidak melelapkan mata untuk beberapa jam.
Akhirnya pada pukul 2 pagi, ada bunyi muncul di pintu. Afsar pasti pintu itu akan dibuka. Lalu dia mengeluarkan kamera telefon bimbit bagi mendapatkan bukti.
Dia mula merakam.
Seorang gadis berambut paras bahu dengan slumber keluar dari rumah itu. Tekaan Afsar tepat, ada yang menceroboh rumah itu.
Rakaman itu boleh dijadikan bukti untuk menahannya.
Pantas Afsar bangun mendekati gadis itu ingin menahannya.
Dia menegur sambil mengeluarkan kad polis. "Cik berhenti."
Langkah Gadis itu terhenti. "Ada apa ni?"
"Cik ditahan kerana menceroboh rumah yang tidak berpenghuni." Balas Afsar.
"Salah faham ni, saya bukan ceroboh, itu rumah saya sewa."
Afsar tidak percaya menahan gadis itu dan memaksanya untuk mengikutinya ke balai.
Hamzah dihubungi tapi tiada respons. Mungkin sudah tidur.
Afsar mengeluh. Dia terpaksa mencari cara lain untuk menghantar gadis itu. Selang beberapa minit, kereta muncul.
Mereka masuk dan tayar kereta mula bergerak meninggalkan tempat itu.
Dalam perjalanan ke Balai Polis, Afsar dapat lihat yang gadis itu mengumam tawa.
Dia menyoal. "Kenapa?"
"Pertama kali polis hantar penjenayah pakai grab. Hahaha"
Afsar bengang. "Kau jangan suka sangat, nanti jadi duka."
Dia membelek maklumat peribadi gadis itu, dari kad pengenalan dia mengetahui nama dan menyoal lagi. "Atia, kenapa kau ceroboh rumah tu?"
"Kau polis yang bagus tapi kau dah buat silap."
"Aku tak silap, aku sendiri yang rakam kau keluar dari rumah tak berpenghuni tu. Aku ada bukti."
"Rumah tu berpenghuni, aku yang sewa situ."
"Mustahil berpenghuni, aku tengok sendiri keadaan dalam rumah tu, memang kosong."
"Aku malas nak cerita lebih panjang, tiada yang akan percaya. Kau boleh ambil telefon bimbit aku dan telefon owner rumah."
Afsar tidak percaya, mungkin itu ialah taktik gadis itu hendak melepaskan diri.
Jadi Afsar menghubungi rakannya di bahagian siasatan untuk mendapatkan maklumat dan nombor telefon pemilik rumah.
Setelah dapat, dia menghubungi nombor itu tanpa segan silu.
Ternyata gadis itu berkata benar. Dia menyewa rumah itu. Afsar terasa malu dan semakin runsing.
Mereka tiba di hadapan balai polis diturunkan oleh kereta.
"Aku dah kata, kau tak nak percaya." Kata Atia sambil berpeluk tubuh.
"Siapa pun alami situasi aku, takkan percaya kata-kata kau. Aku tengok sendiri rumah tu kosong dan usang." Balas Afsar masih tidak mampu meminta maaf.
Dia menambah lagi pula dengan soalan. "Kenapa kau main guli dalam rumah tu? Ganggu jiran bawah."
"Aku akan cerita nanti, sekarang kau dah hutang masa dengan aku. Hantar aku semula ke apartment tu, kalau tak akan ada nyawa yang terkorban malam ni." Ujar Atia serius.
"Apa?!!!!"
Dalam masa yang sama, jam menunjukkan pukul 3.30 pagi. Encik Hanafi dikejutkan isterinya. "Bang bangun bang."
"Kenapa ni?"
"Bunyi apa pula tu bang?"
Kedengaran bunyi guli bercampur dengan bunyi geseran perabot.
Kali ini lebih menyeramkan, tapi Encik Hanafi semakin marah berteriak. "Haih tak guna polis ni tak buat kerja, makin menjadi-jadi orang atas ni."
Dengan amarah yang membara. Encik Hanafi keluar dari bilik tidurnya sambil membawa kayu besbol.
Tapi tapaknya berhenti, dia terkedu. Dia berada di ruangan yang kosong.
Dia melihat sekeliling, dia sudah berada di rumah atas yang kosong, sepi dan gelap gelita.
Dia menjadi resah, ketakutan dan rasa seram merasuk diri.
"Macam mana aku boleh ada dalam rumah ini?!"
Matanya terarah pada gambar wanita yang tergantung pada dinding rumah kosong itu.
Dia jatuh melutut tergamam, wanita di dalam gambar itu ialah isterinya, Puan Natifah.
Dia semakin keliru. Muncul suara nyaring yang mengerikan dari arah belakang memanggilnya. "Abang~~"
Dia berpaling ke belakang, kelihatan isterinya dengan wajah penuh luka. Bola matanya terkeluar dan lidahnya terjelir. Rambutnya tidak terurus berbaju putih terapung-rapung di udara.
Encik Hanafi ketakutan menjerit lalu memori lama masuk ke dalam minda.
Dia menghadiahkan isterinya gambar yang sangat besar beserta bingkai.
Hadiah sempena setahun perkahwinan mereka. Mereka pasangan yang sangat bahagia.
Encik Hanafi sangat menyayangi isterinya.
Tapi setelah 5 tahun berkahwin, mereka masih tidak mempunyai cahaya mata.
Keluarga Encik Hanafi tidak habis-habis mendesaknya.
Akhirnya Encik Hanafi dipaksa untuk berkahwin lagi bagi mendapatkan zuriat.
Tapi belum sempat Encik Hanafi berkahwin lagi. Puan Natifah maut dalam kemalangan jalan raya.
Perkahwinan dibatalkan, Encik Hanafi menjadi murung dan banyak mengurung diri di dalam rumah.
Sudah lama tidak berkerja dan tidak terurus. Rakan-rakan dan ahli keluarganya menyarankannya untuk berpindah rumah supaya dia melupakan kenangan silam.
Tinggal di dalam rumah itu mampu memberi kesan buruk terhadap kesihatan mentalnya.
Akhirnya setelah didesak, dia menyerahkan rumah itu kepada adik kandungnya tapi tidak didiami.
Gambar hadiah kepada Puan Natifah ditinggalkan di dalam rumah itu.
Dia pula hanya berpindah di tingkat bawah.
"Abang minta maaf, abang tak patut abaikan Natifa, kalau tidak, mungkin natifa masih hidup." Kata Encik Hanafi dengan air penuh di mata.
"Natifa dah mati bang, ada satu cara je supaya Natifa hidup balik."
"Apa caranya?"
"Abang kena sembah Tuhan Aduk."
"Tuhan Aduk!!!"
Afsar dan Atia dalam perjalanan ke pangsapuri itu. Atia sedang menceritakan segala-galanya.
"Jadi kau ni penangkap setan?" Soal Afsar.
"Ye, yang bersama Encik Hanafi ialah Setan Aduk. Kau mesti tak percaya dengan apa yang aku cerita kan?"
"Aik, aku tak kata yang aku tak percaya."
"Selama ini, Setan Aduk menyamar menjadi isteri Hanafi. Dia hanya menunggu masa yang Hanafi akhirnya akan lemah dan akan menyembahnya."
"Jadi kau sewa rumah tu untuk tangkap setan tu, habis kenapa kau main guli?"
"Aku main guli tu nak ganggu dia, supaya dia naik ke atas dan ceroboh masuk ke dalam rumah tu. Tapi tak terjadi."
"Kenapa dia kena masuk dalam?"
"Supaya dia ingat yang isterinya dah mati, jadi Setan Aduk tu tak akan berdamping dengan dia. Jadi lebih senang aku nak tangkap."
"Apa susah, bagitahu je lah yang isteri dia dah mati."
"Kau ingat dia akan percaya ? Rumah tu sahaja kunci untuk memorinya kembali semula. Setan Aduk tu dah hilangkan semua memori tentang isterinya."
"Jadi sekarang macam mana?"
Atia tidak menjawab soalan itu, apabila mereka tiba di bawah rumah pangsapuri.
Kelihatan ada asap berkepul-kepul di tingkat atas, pantas mereka tergesa-gesa keluar dari kereta.
Berlaku kebakaran dan bomba sedang berusahan memadamkan api.
Kepala mereka berdua hanya mendongak melihat kebakaran. Saat itu, Atia tahu yang mereka sudah terlambat. "Kita lambat, Encik Hanafi dah terpedaya, dia dah menyembah Setan Aduk."
"Apa? Apa kena mengena dengan kebakaran ni? Macam mana cara menyembah tu?"
"Caranya dengan mati." Balas Atia.
Afsar tersentak mendengar perkara itu. Dia menoleh ingin memandang Atia.
Tapi..
Atia sudah lenyap, hilang dari pandangannya.
"Mana dia pergi?"
- Tamat Hantu Guli -
Syurga Setan 1
Konsep untuk Siri Syurga Setan ni. Aku akan keluarkan 1 bulan 1 cerita.
Cerita yang berbeza tapi akan ada 2 watak yang sama untuk sambung siri ni iaitu watak Afsar dan Atia. Mereka akan bertemu lagi.
Jumpa dalam Syurga setan 2.
Kalau suka dengan apa yang aku tulis dan rasa ianya menarik, harap boleh support buku yang aku tulis juga.
Terjumpa bungkusan hitam di tepi pantai yang dibawa oleh ombak. Apa isinya?
Kalau korang jumpa, berani ke korang buka?
Rt guys, jangan biarkan korang je yang rasa seram dengan cerita ni.
Ini adalah thread.
Aku akan start 11.30 malam ni. Kalau korang nak baca cerita yang aku dah pernah tulis. Korang boleh baca kat telegram. Tekan je link kat bawah ni 👇 t.me/abstrakim
Aku juga ada keluarkan buku, sekarang tengah promosi tu.
Jangan cabar benda yang tidak dapat dilihat, risau dia berdendam.
Dendam manusia boleh minta maaf, dendam jin?
Rt guys, jangan biarkan korang je yang rasa seram dengan cerita ni.
Ini adalah thread.
Takkan nak start sekarang. Pocong kalau muncul tengah hari panas terik tengah-tengah padang sekolah pun orang tak rasa seram. Aku akan start 11.30 malam ni.
Kalau tak sabar sangat, korang boleh baca dulu cerita yang pernah aku tulis kat sini 👇