Malam itu, tidak seperti malam yang lain. Tidurnya tidak nyenyak. Rasa tidak selesa muncul. Berguling ke kiri, berguling ke kanan. Masih tidak mengantuk.
Dia membuka mata. Namanya Amy. Bukan Amy search tapi Amy find. Dia baru sedar yang dia berada di dorm asrama, bukan di atas katil rumah.
Kesedaran itu berlaku kerana terdengar suara kawannya menyanyi dalam tidur. Bukan nyanyian biasa, nyanyian itu ialah dengkur yang sangat menjengkelkan.
Dia tahu itu dengkur Bob (Bukan nama sebenar). Memang bukan nama sebenar pun, itu nama panggilannya. Dia tidak tahu mengapa lelaki berisi selalu dipanggil Bob. Dia juga mahu dipanggil Bob. (Budak otak baik)
Di dalam dorm asrama itu terdapat banyak katil kerana ada ramai pelajar di dalamnya. Sekelilingnya gelap gelita bukan kerana pihak sekolah tidak membayar bil elektrik tetapi kerana dah malam, waktu tidur memang lah gelap. Hurmm.
Tertanya-tanya di dalam hati. "Kenapa aku tak boleh tidur ni?" Tiba-tiba bunyi dengkur Bob semakin agresif. Dia membuka mata dan mengeluh. Ikut hati ingin sahaja dia memijak wajah Bob supaya tidak menyanyi lagi.
Dia ingin menutup matanya semula. Tapi belum sempat matanya ditutup. Dia terdengar bunyi seperti tingkap biliknya diketuk.
Matanya terarah ke tingkap, ada bayang-bayang muncul dari luar tingkap bilik. Dia cuba menginterpretasi bayang-bayang itu. Dia sedikit tersentak kerana ianya seperti seorang nenek tua yang berbongkok.
Dari hujung bayang-bayang itu berjalan berbongkok seperti memegang tongkat. Dari hujung ke hujung dia berjalan perlahan-lahan. Jantungnya berdegup kencang melihat perkara itu.
Dia berharap yang ada kawannya yang lain juga menyaksikan perkara ini. Selepas bayang-bayang itu melepasi hujung tingkap. Bayang-bayang itu hilang. Hatinya rasa lega tapi masih tertanya. "Mana bayang-bayang tu pergi?"
"Cucu cari nenek ke?" Suara perempuan tua muncul di sebelahnya. Amy tersentak memandang ke arah itu. Terlihat seorang wanita tua yang wajahnya agak menyeramkan. Memakai selendang di kepala. Rambutnya putih. Matanya terbeliak dan Bertongkat.
Nafas Amy semakin laju. Dia sudah ketakutan. Dadanya turun naik seperti ingin meletup. "Apa nenek nak?"
Ketawa kecil nenek tua itu dengan nada yang menyeramkan apabila Amy bersuara. Lalu dia meminta sesuatu. "Cucu boleh tolong nenek?"
Amy menelan air liur. "Tolong apa nek?"
"Tolong ambilkan barang nenek yang ada dekat bawah katil cucu."
Amy sebenarnya sudah ketakutan tahap dewa. Dia hanya berharap selepas membantunya, nenek tua ini akan berlalu pergi.
Dia menghela nafas dan memberanikan diri perlahan-lahan menurunkan kepala ke bawah katil ingin mengambil barang nenek tua itu.
Apabila sampai matanya di bawah katil, dia tersentak kerana ada kepala nenek tua itu di bawah katil sedang tersenyum dengan mata terbeliak ke arahnya. Hanya kepala.
Lalu pantas dia menaikkan kepalanya semula memandang ke arah nenek itu semula. Kelihatan nenek tua itu sudah tidak berkepala. Penuh darah keluar dipangkal lehernya terpancut-pancut menyembur. Amy menjerit ketakutan seperti orang hilang arah.
Semua yang ada di dalam dorm itu terjaga dari tidur. Mereka mendapatkan Amy yang sedang menjerit. Kelihatan Amy sudah dirasuk. Ustaz Alam yang menjaga ketenteraman asrama muncul menjadi hero. Dia membantu mengeluarkan jin itu dari badan Amy.
Selepas dari peristiwa ini, dorm asrama itu sudah tidak lagi selamat. Semua yang menghuni dorm asrama itu akan diganggu sehingga menjadi stress dan mengalami masalah mental. Kelibat nenek tua itu, masih berlegar-legar di dalam dorm asrama.
Oleh itu, selepas beberapa mesyuarat. Keputusan dibuat. Dorm asrama itu ditutup untuk selama-lamanya. 10 tahun kemudian, Fendi menceritakan keseluruhan cerita tadi kepada Ayie dan Zaidi. Mereka ialah pelajar tingkatan 3 di sekolah tersebut.
"Ah menipu lah cerita ni, hantu mana wujud. Ni mesti pihak sekolah reka cerita sebab nak sorokkan sesuatu dalam dorm tu atau pun ustaz Alam sengaja nak jadi hero dalam cerita ni." Hujah Ayie.
"Aku setuju, mana ada hantu zaman moden ni. Yang kena rasuk ni selalu sakit mental je." Kata Zaidi pula.
Fendi mengerut dahi. "Eh korang ni macam marah aku pulak, aku cuma cerita apa yang aku dengar je."
"Masalahnya kau cerita tu beria, cerita macam cerita betul. Hahaha." Balas Ayie.
"Okay boleh ke kau buktikan pada aku yang cerita tu tipu?" Teriak Fendi.
Ayie memandang dua rakannya dengan senyuman sinis. "Okey malam ni kita menyelinap masuk dalam dorm tu, lepastu ikut plan aku. Percayalah mengarut je cerita tu."
"Okay aku percaya kau, kita tengok malam ni."
Malam tiba, mereka bertiga berhati kental cuba menyelinap masuk dari tingkap. Selamat tingkap itu tidak berpagar dan sudah kosong tanpa kaca. Ini memudahkan untuk mereka masuk ke dalam.
Keluar nanti boleh melalui pintu kerana pintu itu boleh dibuka dari dalam.
Sampai di dalam, keadaan gelap gelita. Mereka terbatuk-batuk kerana habuk yang tebal. Fendi mencari suis lampu. "Dah berapa lama bilik ni kosong?"
Tangannya teraba-raba di dinding mencari suis, tiba-tiba dia terasa seperti menyentuh tangan seseorang menyebabkan dia tersentak dan melatah.
Semua yang ada di situ juga tersentak. "Oi kenapa?" Tanya Ayie.
"Takda Pape." Fendi tidak mahu mengeruhkan keadaan. Dia tidak mahu lagi mencari suis lampu. Mungkin trauma.
Akhirnya Zaidi yang menjumpai suis lampu dan membukanya.
Selang beberapa puluh minit, pintu rumah warden iaitu ustaz Alam diketuk-ketuk. Ustaz Alam keluar dari rumah terkejut melihat Ayie dan Zaidi dalam keadaan termengah-mengah.
"Kamu berdua ni dari mana? Baru balik dari marathon ke?" Tanya Ustaz Alam bingung.
"Tolong kami ustaz, Fendi kena rasuk."
"Kena rasuk?! Macammana boleh kena rasuk?!"
"Kami menyelinap masuk dalam dorm asrama yang berkunci tu. Tak sangka pula Fendi akan dirasuk."
"Haish dah kamu masuk dalam dorm tu kenapa? Fendi sekarang kat mana?"
"Kat dorm tu."
"Ya tuhan, anak kecil saya ada sorang je kat rumah ni. Beberapa minit lagi baru isteri saya balik. Kamu pergi tengokkan Fendi, risau jadi apa-apa. Nanti saya datang." Arah ustaz Alam.
Ayie dan Zaidi bergegas berlari ke arah dorm. Dalam perjalanan Zaidi bertanya. "Kau rasa ustaz Alam akan denda kita tak? Sebab ceroboh dorm tu?"
"Tak punya, dia mana pernah denda orang. Sebabtu aku berani ajak korang masuk dalam tu." Kata Ayie dengan penuh yakin.
Beberapa minit selepas menunggu. Akhirnya ustaz Alam datang ke dorm tersebut. "Mana Fendi?"
"Tu." Tunjuk Ayie dan Zaidi dengan bibir.
Kelihatan Fendi sedang berbongkok menghadap penjuru dinding sedang membuat bunyian yang aneh.
Ustaz Alam dengan tasbih mendekati Fendi perlahan-lahan bertanya. "Siapa kau?"
Fendi ketawa tapi nada suaranya agak lain dan menyeramkan.
"Kau keluar dari tubuh badan dia." Gertak ustaz Alam.
Fendi masih ketawa. Lalu ustaz Alam menghampiri dan menjatuhkannya. Dia meminta bantuan Ayie dan Zaidi. "Pegang kawan kau ni.
Mulut Ustaz alam mula terkumat kamit membaca sesuatu. Dia menyuruh Ayie supaya membuatkan Fendi memegang tasbihnya. Dengan paksa, Fendi memegang tasbih itu.
Ustaz Alam membaca sesuatu sehinggakan Fendi menjerit kesakitan dan pengsan.
"Macammana ustaz dengan Fendi?" Tanya Ayie.
"Benda tu dah masih ada kat sini. Aku pergi ambil barang aku jap untuk perangkap makhluk tu. Kau biarkan Fendi pegang erat tasbih tu ditangannya. Untuk keselamatan." Ujar ustaz Alam berjalan keluar dari dorm asrama itu.
Selepas mereka merasakan yang ustaz Alam sudah jauh. Fendi membuka mata, lalu mereka bertiga ketawa terbahak-bahak.
"Pandai lah kau berlakon, tak sia-sia aku suruh kau yang buat-buat kena rasuk. Hahaha." Kata Ayie.
"Hebatlah plan kau, kau tengok muka ustaz tadi, beria nak selamatkan aku konon. Rupanya pura-pura je. Hahaha." Tawa Fendi.
"Aku dah cakap korang semua tak percaya, mana ada apa-apa dalam bilik dorm ni. Bukti dah ada depan mata sekarang. Hahaha."
Sedang mereka ketawa riang, ustaz Alam muncul di hadapan pintu dorm. "Eh kamu kata Fendi kena rasuk, tu okay je."
"Memang lah dah okay, kan ustaz dah keluarkan dari badan dia.'
Wajah ustaz Alam berubah hairan. "Bila masa saya keluarkan, saya baru je sampai."
Wajah mereka bertiga berubah pucat dan saling berpandangan. Lalu Fendi melihat ke arah tangannya. Yang dia genggam bukan tasbih tapi rambut tebal berwarna putih.
Tamat.
Cerita yang lain juga boleh dibaca di telegram. Tekan link ini👇 t.me/abstrakim
• • •
Missing some Tweet in this thread? You can try to
force a refresh
Jangan cabar benda yang tidak dapat dilihat, risau dia berdendam.
Dendam manusia boleh minta maaf, dendam jin?
Rt guys, jangan biarkan korang je yang rasa seram dengan cerita ni.
Ini adalah thread.
Takkan nak start sekarang. Pocong kalau muncul tengah hari panas terik tengah-tengah padang sekolah pun orang tak rasa seram. Aku akan start 11.30 malam ni.
Kalau tak sabar sangat, korang boleh baca dulu cerita yang pernah aku tulis kat sini 👇