Profile picture
Josh Saladin @JoshSaladin
, 129 tweets, 14 min read Read on Twitter
Thread malam ini,

Panji Uthmaniyah di Kepulauan Melayu.
Pihak Khilafah Uthmaniyah telah menghantar konsul dan membuka pejabat mereka di Kepulauan Melayu khususnya di Batavia (Jakarta) Singapura dan Rangoon bermula pada pertengahan kurun ke-18.
Wakil-wakil Kerajaan Turki Uthmaniyah ini berperanan membela nasib umat Islam yang dizalimi dan ditindas oleh penjajah Inggeris dan Belanda di wilayah masing-masing.
Konsul pertama Uthmaniyah di Singapura ialah Sayyid Abdullah al- Junayd yang dilantik pada tahun 1864. Beliau juga merupakan penduduk Hadhramaut (Yaman).
Selepas kematiannya pada tahun 1865, pihak British tidak lagi memperbaharui permit pejabatnya.

Kemudian, peranan konsul ini diambil alih oleh adiknya dan kemudian oleh Sayyid Muhammad b. Ahmad al-Sagoff hingga akhir kurun ke-19.
Seterusnya, Haji Attaullah Effendi dari Turki dilantik menjadi konsul di Singapura pada tahun 1901 dan tugasnya dipercayai diambil alih oleh Kiliani.
Pembukaan pejabat konsulat Turki Uthmaniyah di Singapura (1864) dan Batavia (1883) secara tidak langsung membina hubungan yang akrab antara Sultan Johor dan Sultan Uthmaniyah.
Hubungan ini bermula di era pemerintahan Sultan Abu Bakar (1885-1895) dan diteruskan hingga kemangkatan Sultan Ibrahim pada tahun 1922.
Individu yang bertanggungjawab membina dan menjaga hubungan antara Sultan Uthmaniyah dan Sultan Johor ialah Sayyid Muhammad al-Sagoff yang merupakan usahawan dari Hadhramaut bersama-sama dengan Konsul Uthmaniyah di Singapura.
Manakala Sayyid Omar bin Muhammad al-Sagoff merupakan konsul Uthmaniyah di Singapura memainkan peranan penting dalam membantu hubungan Acheh dan Istanbul pada akhir kurun ke-19.
Perlantikan Sayyid Muhammad al-Sagoff sebagai konsul Uthmaniyah di Singapura menimbulkan rasa tidak senang pihak British.
Pihak British mempertikaikan tindakan Daulah Uthmaniyah melantik wakilnya di Singapura sedangkan Daulah Uthmaniyah tidak mempunyai kepentingan di rantau ini malah bilangan warganegara Uthmaniyah di Singapura adalah amat sedikit.
Sayyid Muhammad al-Sagoff dilihat mempunyai pengaruh yang kuat dalam masyarakat terutamanya dalam perniagaan jemaah haji.

Beliau dilihat boleh menimbulkan ancaman besar kepada pihak British dan Belanda kerana bersifat antikolonial.
Pihak Belanda telah menghantar bantahan ke London mengenai perlantikan orang Arab sebagai konsul Uthmaniyah di Singapura.
Lord Salisbury yang merupakan Perdana Menteri British menghubungi Pejabat Jajahan di London dan mencadangkan agar jawatan konsul diisi oleh orang Turki sendiri dan...
... bukannya orang berketurunan Arab apabila Sayyid Muhammad al-Sagoff dilantik menjadi konsul kerana kebimbangan timbulnya penentangan.

Walaupun mendapat tekanan daripada Foreign Office, Pejabat Jajahan tetap menerima konsul Uthmaniyah walaupun tanpa pengiktirafan rasmi.
Terdapat kejadian di mana akhbar Reuters menyiarkan berita yang menuduh Kerajaan Turki Uthmaniyah menghantar rakyatnya ke Hindía Timur Belanda (Indonesia) untuk menghasut umat Islam di sana supaya menentang pihak Belanda.
Untuk menangkis dakwaan tersebut, akhbar Neracha telah menyiarkan surat penafian daripada Konsul Uthmaniyah di Batavia iaitu Muhammad Refat Bay di mana beliau juga menuduh Jawatankuasa Balkan di London sengaja mengada-adakan berita yang tidak berasas.
Setelah berakhirnya Perang Dunia Pertama, Muhammad Refat Bay mengadakan pertemuan dengan Sheikh Sayyid bin Salim dan Sheikh Omar Manqush di Welterveden, Jawa. Pertemuan ini adalah untuk membincangkan perlaksanaan propaganda anti-British.
Ali bin Awad bin Sunkar diberi tanggungjawab melaksanakan propaganda berkenaan. Beliau melawat Pulau Pinang dengan ditemani oleh Sheiklh Abdullah bin Salim al-Attas dan Sheikh Taliff bagi menubuhkan sekolah Arab di Pulau Pinang.
Sewaktu Kerajaan Turki Uthmaniyah menghadapi Perang Balkan, akhbar Neracha menyeru orang Melayu supaya memberi sumbangan untuk menyokong ekonomi Kerajaan Turki Uthmaniyah semasa perang Sumbangan tersebut adalah dalam bentuk bon yang bernilai $1.00 setiap satu.
Pada Jun 1913, garis panduan untuk membeli bon dalam bahasa Arab dan Inggeris telah disediakan buat akhbar Nerachaoleh Konsul Turki di Batavia.
Pada bulan berikutnya, Neracha memaklumkan kepada pembacanya bahawa pihaknya telah menerima garis panduan untuk membeli bon dalam Bahasa Melayu.
Kerjasama diplomatik antara Kerajaan Turki Uthmaniyah dengan Acheh mula terjalin semenjak kurun ke-16 lagi iaitu sewaktu pemerintahan Sultan Sulaiman al-Qanuni dan kemudian diteruskan oleh penggantinya iaitu Sultan Selim II (1566-1574).
Sewaktu pemerintahan Sultan Sulaiman al-Qanuni, baginda telah menghantar dutanya ke Acheh yang bernama Lutfi Bey.

Manakala sewaktu pemerintahan Sultan Selim II, baginda telah menghantar dutanya yang lain iaitu Mustafa Chavush ke Acheh.
Hubungan diplomatik yang tercetus ini menumpukan kepada kerjasama ketenteraan bagi menghadapi ancaman musuh-musuh Islam di Acheh.
Sewaktu era pemerintahan Sultan Abdul Hameed Khan II, baginda telah menghantar wakilnya ke Batavia pada akhir kurun ke-19 bagi membantu kaum Arab muslim yang berasal dari Hadhramaut yang menderita di sana.
Diplomat Turki berjanji kepada umat Islam khususnya penduduk Hadhramaut bahawa pihak Khilafah Uthmaniyah akan berjuang supaya mereka dapat menikmati hak dan taraf yang sebagaimana yang dinikmati oleh orang Eropah yang lain.
Di samping itu, pihak Khilafah Uthmaniyah berjanji untuk membebaskan orang Islam di Hindia Timur Belanda daripada penindasan pihak Belanda.
Perlantikan Konsul Uthmaniyah di Batavia iaitu Muhammad Kiamil Bey (1897-1899) telah menghidupkan semula hubungan antara umat Islam di Timur Tengah dan Asia Tenggara.
Peranan utama yang dimainkan oleh beliau ketika berada di Batavia ialah memupuk hubungan kewartawanan antara Asia Tenggara dan Timur Tengah dengan menyampaikan berita mengenai ketidakadilan dan penindasan ke atas orang Islam oleh pihak Belanda.
Antara media cetak Bahasa Arab yang menyiarkan berita ini ialah al- Malumat, Constantinople, Thamarat al-Funun Beirutdan beberapa akhbar di Mesir.
Akhbar al-Malumat pernah disekat penyebarannya oleh pihak Belanda kerana mengeluarkan laporan yang mendakwa pihak Belanda memaksa masyarakat tempatan di Hindia Timur Belanda menyerahkan anak gadis mereka untuk dijadikan perempuan simpanan.
Muhammad Kiamil Bey juga bertindak sebagai wakil Sultan dan mengagihkan al-Quran kepada masyarakat tempatan bertujuan untuk mengeratkan silaturahim.
Beliau juga bertanggungjawab memilih para pelajar untuk dihantar ke Istanbul bagi melanjutkan pelajaran yang dibiayai oleh Sultan Turki.
Penghantaran pelajar-pelajar dari Batavia ke Istanbul dilakukan sebanyak i mana fasa pertama menyaksikan seramai enam orang pelajar manakala fasa kedua melibatkan penghantaran seramai 40 orang pelajar di bawah umur 16 tahun.
Mereka ditekankan dengan pembelajaran Bahasa Turki khususnya untuk memudahkan pemasaran barang-barang dagangan dari Turki ke Nusantara.
Malangnya, Muhammad Kiamil Bey telah diusir oleh pihak Belanda dari Batavia kerana mencetuskan gerakan Pan-Islam yang mencetuskan kebangkitan Islam di Kepulauan Melayu sebelum dipindahkan ke Singapura pada tahun 1899-1904.
Tindakan beliau ini telah menarik perhatian umum di Istanbul mengenai ketidakadilan pihak kolonial di Asia Tenggara. Secara tidak langsung, tindakan beliau juga mencetuskan aliran baharu pembaharuan dan nasionalisme yang wujud di Timur Tengah.
Beliau juga menyediakan bantuan kewangan sebanyak 20,000 Dollar Singapura kepada Raja Ali Kelana ke Istanbul pada akhir kurun ke-19 menemui Sultan Abdul Hameed II untuk membebaskan Kerajaan Riau - Lingga daripada penjajahan Belanda.
Muhammad Kiamil Bey pernah bertindak memboikot majlis untuk meraikan sambutan pertabalan Queen Wilhelmina sebagai ratu Belanda di Batavia bahkan mengecam usaha Sayyid Uthman membacakan doa dalam majlis tersebut.
Tindakan beliau ini adalah manifestasi beliau mengajak penduduk tempatan menentang penjajahan Belanda.
Tindakan Muhammad Kiamil Bey mengahwini bekas pemaisuri Sultan Abu Bakar menimbulkan kemarahan masyarakat Melayu Singapura kerana tidak berbincang dengan keluarga diraja tersebut.
Beliau kemudiannya dilantik sebagai konsul Turki Uthmaniyah di Liverpool, England.

Namun begitu, beliau masih mengambil tahu perkembangan semasa yang terjadi di Batavia dan Singapura.
Peranan Muhammad Kiamil Bey sebagai konsul Uthmaniyah diambil alih oleh Amin Bey. Ini disebabkan permintaan Belanda yang memohon kepada Sultan Abdul Hameed II supaya Kiamil Bey ditukar dengan pegawai yang lain walaupun baginda tidak bersetuju pada awalnya.
Perlantikan Amin Bey menimbulkan kritikan masyarakat kerana mengambil sikap berdiam diri dan tidak meneruskan program yang telah dilaksanakan oleh Muhammad Kiamil Bey sebelumnya yang memberi manfaat kepada umat Islam.
Kritikan yang diluahkan oleh masyarakat Jawa turut dikongsi bersama dengan masyarakat Islam di Singapura.
Namun dari sudut positif, setelah perlantikan Amin Bey sebagai Konsul Uthmaniyah, sebarang kesalahan yang dilakukan oleh penduduk tempatan akan dibicarakan di hadapan konsul Turki Uthmaniyah dan tidak lagi berada di bawah bidang kuasa Belanda.
Sewaktu pertempuran antara Acheh dan Belanda yang bermula pada tahun 1873, penduduk Acheh telah memohon bantuan daripada konsul Uthmaniyah di Batavia.
Persinggahan kapal perang Uthmaniyah, Ertuğrul di Singapura dalam perjalanan ke Jepun pada tahun 1889 telah memberi harapan baharu kepada Acheh untuk memohon bantuan daripada pihak Uthmaniyah.
Namun, apabila rombongan Acheh tiba di Singapura, kapal tersebut telah bertolak pergi.

Pihak Belanda berjaya menawan Acheh pada tahun 1903 ketika pemerintahan Sultan Muhammad Daud Syah yang merupakan pengganti kepada Sultan Mansur Syah.
Hubungan antara Kerajaan Turki Uthmaniyah dan Kepulauan Melayu bukan berlaku sehala sahaja dengan perlantikan Konsul Uthmaniyah di Kepulauan Melayu khususnya di Singapura dan Batavia.
Hubungan ini juga berlaku secara dua hala di mana sultan-sultan di Kepulauan Melayu sendiri menghantar wakil mereka ke Istanbul untuk menjalinkan hubungan politik dengan Kerajaan Turki Uthmaniyah.
Ini dapat dilihat pada tahun 1849 apabila Sultan Acheh iaitu Sultan Mansur Syah (1838-1870) menghantar wakilnya ke Istanbul untuk bertemu dengan Sultan Abdul Majid (1839-1861) berserta dengan
sepucuk surat dalam Bahasa Melayu bagi mengesahkan semula hubungan bersejarah Acheh sebagai sebahagian daripada wilayah di bawah kekuasaan Uthmaniyah dan memohon bantuan bagi menghadapi kemaraan pengaruh Belanda di Sumatera, Acheh.
Selepas setahun (1850) tidak mendapat perkhabaran daripada pihak Uthmaniyah, Sultan Mansur Syah sekali lagi menghantar kepada Sultan Abdul Majid dalam Bahasa Arab.
Permohonan Acheh kali ini mendapat perhatian daripada pihak Istanbul.
Rentetan daripada itu, pihak Uthmaniyah telah menghantar seorang wakilnya ke Acheh bagi tuntutan wilayah Acheh yang merupakan sebahagian daripada wilayah Uthmaniyah sambil berjaga-jaga daripada tindak balas yang akan diambil oleh pihak Belanda.
Walaupun pihak Belanda telah menjajah Batavia, namun pihaknya juga mempunyai konsulnya tersendiri di Jeddah yang bertanggungjawab mengawasi perkembangan jemaah dari Batavia yang bermukim di Mekah.
Pentadbiran konsul Belanda di Jeddah ini berada di bawah Jabatan Luar Negeri yang menghantar laporan perisikan ke Den Haag (The Hague), Belanda mengenai jemaah haji dari Jeddah melalui Jabatan Jajahan sebelum dilaporkan kepada Gabenor Jeneral.
Pihak Belanda juga meminta pihak Khilafah Uthmaniyah menyerahkan kembali rakyat Batavia yang dianggap sebagai pemberontak yang melarikan diri ke Mekah kerana ingin membebaskan diri daripada cengkaman pemerintahan Belanda.
Namun, permintaan ini tidak dilayan oleh pihak Uthmaniyah bahkan orang-orang Batavia yang melarikan diri ini diterima sebagai pahlawan dan diberi bantuan oleh pihak Uthmaniyah.
Pada kurun ke-17, Belanda masih mempunyai hubungan diplomasi dengan Acheh dan Belanda juga mempunyai wakilnya sendiri di Batam.

Di Acheh, para pedagang perlu mendapat kebenaran daripada sultan sama ada ingin memasuki atau meninggalkan Acheh.
Kebenaran ini diberi dalam bentuk sebuah token kebenaran Diraja yang dikenali sebagai tsiap.
Terdapat seorang pedagang dari Belanda yang dihukum dengan dicederakan oleh seekor gajah sehingga mengakibatkan kecederaan pada anggota badannya kerana tidak mendapatkan dahulu tsiap daripada sultan ketika memasuki wilayah Acheh.
Ada juga beberapa orang pedagang dari Belanda yang telah meninggalkan Acheh tanpa mendapatkan tsiap dan tindakan ini menimbulkan kemarahan sultan.
Jan Pieterszoon Coen yang merupakan Pengarah Urusan Syarikat Hindia Timur Belanda (VOC) telah menghantar wakilnya untuk meminta maaf daripada Sultan Iskandar Muda berhubung insiden tersebut.
Pembacaan doa untuk khalifah di Istanbul dalam khutbah Jumaat dalam masyarakat Melayu bermula pada tahun 1883. Usaha ini dimulakan oleh Konsul Uthmaniyah di Batavía iaitu Ali Galip Bey.
Beliau menunaikan solat Jumaat dan membacakan khutbah yang buat pertama kalinya menyebut Yang Maha Mulia Khalifah Daulah Uthmaniyah.
Selain itu, beliau juga membaca khutbah di beberapa buah masjid dan menyatakan bahawa tindakan tersebut adalah pertama kali dilakukan. Para jemaah didapati menitiskan air mata apabila mendengar nama Yang Maha Mulia Khalifah disebut.
Van de Berg yang belajar di Jawa pada tahun 1886 menemui pelbagai versi khutbah Jumaat cetakan Bombay yang mencatatkan bahawa Sultan Abdul Hameed II sebagai pemimpin umat Islam.
Bacaan doa kepada Sultan-sultan Uthmaniyah di masjid-masjid Sri Lanka Ceylon) dan Calicut (Selatan India) yakni di Asia Selatan telah bermula sejak kurun ke-16 lagi.
Ini dapat dilihat apabila 14 buah masjid di Sri Lanka (Ceylon) dan 25 buah masjid di Calicut (Selatan India) telah menyebut nama Sultan Uthmaniyah dalam khutbah Jumaat mereka.
Perkara ini tercatat dalam surat Sultan Acheh iaitu Sultan Alauddin Riayat Shah al-Qahar yang dihantar kepada Sultan Sulaiman al-Qanuni pada tahun 1566.
Menurut catatan travelog Ahmed Hamedi yang bertajuk Hindistan ve Sevat ve Afghanistan Seyahatnamesi yang diterbitkan pada tahun 1883,
beliau menceritakan bacaan doa kesejahteraan ke atas Sultan Uthmaniyah dilaksanakan di sebuah majid berhampiran istana sewaktu beliau berada di Swat.
Perjalanan beliau sebenarnya merangkumi tiga buah wilayah iaitu India, Swat dan Afghanistan. Ini menunjukkan pembacaan doa ke atas
Sultan Uthmaniyah bukan sahaja terbatas di Alam Melayu malah hingga ke wilayah-wilayah naungan Uthmaniyah yang lain termasuk di India dan Timur Tengah.
Terdapat catatan yang dibuat oleh ahli kapal Ertuğrul yang diutus olelh Kerajaan Turki Uthmaniyah ke Jepun sekitar tahun 1888-1889.
Perjalanan ke Jepun ini melalui Suez dan telah singgah di beberapa buah pelabuhan seperti Aden, Bombay, Ceylon, Singapura, Saigon dan Hong Kong.
Ahli kapal tersebut telah naik ke darat untuk menunaikan Solat Jumaat dan apa yang mengejutkan ialah mereka mendapati nama Sultan Abdul Hameed Khan II disebut dalam doa Khutbah Jumaat.
Pada waktu yang sama, Kerajaan Acheh yang mempunyai hubungan sejarah dengan Turki menghantar wakilnya iaitu Sayyid Dzin ke Singapura.
Beliau membawa dua pucuk surat iaitu untuk Sayyid Muhammad al - Sagoff dan juga kapten kapal Ertugrul yang bertujuan memohon bantuan daripada Sultan Turki Uthmaniyah.
Seperti mana disebut sebelum ini, utusan ini tidak sempat untuk menemui anak-anak kapal berkenaan yang telah berlepas ke Jepun.
Malangnya, ketika dalam perjalanan pulang dari Jepun ke Istanbul, kapal Ertuğrul dipukul ribut dan karam di Laut China Selatan.
Sebahagian daripada tentera Turki Uthmaniyah diselamatkan oleh kapal British dan dibawa ke Pulau Pinang. Dari Pulau Pinang, mereka dihantar ke Colombo untuk diserahkan kepada konsul Uthmaniyah di sana dan seterusnya dibawa pulang ke Istanbul.
Punca kejadian kapal karam ini disebabkan kapal yang digunakan oleh pihak Uthmaniyah untuk ke Jepun merupakan sebuah kapal lama.
Misi ke Jepun seterusnya adalah pada 12 Januari 1904 menggunakan kapal perang Shihab yang diketuai oleh Komander Ahmad Afandi.
Persiapan pada kali ini adalah lebih baik daripada sebelumnya kerana misi pada kali ini menggunakan kapal perang baharu yang mampu belayar di lautan luas serta mempunyai kelajuan 12 batu sejam.
Jelasnya, keprihatinan pihak Khilafah Uthmaniyah terhadap umat Islam yang berada di Nusantara dapat dilihat dengan menghantar wakil wakilnya ke wilayah ini.
Peranan ini jelas bagi menghadapi penjajahan pihak Inggeris dan Belanda di Tanah Melayu dan Kepulauan Sumatera ketika itu.
Selain itu, keutamaan pendidikan juga diberikan kepada masyarakat Melayu di sini dengan memberi bantuan biasiswa kepada sesiapa yang ingin melanjutkan pengajian ke peringkat tinggi oleh Kerajaan Turki Uthmaniyah.
Hubungan Politik Daulah Uthmaniyah dengan Masyarakat Islam Filipina

Sebelum kedatangan Amerika Syarikat di Filipina, pulau ini sebenarnya dijajah oleh pihak Sepanyol.
Ketika menjajah Filipina, pihak Sepanyol berusaha untuk menukar agama penduduk tempatan sehinggakan mereka berjaya mengkristiankan 90 peratus penduduk bukan Islam tetapi gagal menyebarkan agama Kristian di kalangan penduduk tempatan beragama Islam.
Pada tahun 1897, pemimpin Filipina, Amilio Ajinaldo bersama Amerika Syarikat menyerang pihak Sepanyol dan menghalau pihak mereka dari bumi Filipina.

Ketika pendudukan Amerika Syarikat di sini, mereka tidak mencampuri urusan agama penduduk.
Pada tahun 1899, Oscar Strauss yang merupakan Pegawai Penasihat Amerika di Istanbul meminta Sultan Abdul Hameed II supaya menasihati masyarakat Islam di Fillipina agar bekerjasama dengan Amerika Syarikat.
Baginda kemudian menghantar telegraf kepada jemaah Filipina yang berada di Mekah yang sedang melakukan ibadah haji dan mereka mengiktiraf baginda sebagai khalifah dan pemimpin umat Islam.
Hubungan Istanbul dengan masyarakat Islam di Filipina diteruskan walaupun Sultan Abdul Hameed II digulingkan pada tahun 1909.
Pada bulan April 1912, Haji Nuno bersama 58 orang pemimpin tempatan yang lain dari Filipina telah menghantar petisyen kepada pihalk Uthmaniyah untuk memohon guru agama Islam bagi mengajar penduduk Moro di Taluksangay, Zamboanga.
Petisyen ini dihantar sendiri oleh Pegawai Amerika di Filipina iaitu John Park Finley kepada Sultan Uthmaniyah, Mehmed V di Istanbul.
Sultan Mehmed V berasa gembira dengan kunjungan ini kerana buat pertama kalinya baginda menerima kunjungan daripada seorang Kristian untuk menjaga kepentingan umat Islam.
Petisyen ini merupakan suatu simbol yang penting dalam menunjukkan hubungan yang wujud antara umat Islam di Filipina dan Sultan Uthmaniyah.
Secara tidak langsung hal tersebut melambangkan tanggungjawab Sultan Uthmaniyah menjaga kemaslahatan umat Islam di seluruh dunia yang melangkaui sempadan benua.
Petisyen ini ditulis oleh umat Islam Filipina dengan merujuk diri mereka sebagai "rendah diri" sebagaí tanda penyerahan diri mereka kepada Sultan Uthmaniyah.
Antara kandungan petisyen tersebut adalah:
Harus ditegaskan di sini bahawa tujuan membawa masuk sarjana Islam ke Wilayah Moro dari Daulah Uthmaniyah adalah untuk memberi fahaman kepada bangsa Moro
mengenai agama Islam dan seterusnya memastikan undang-undang bangsa Moro sesuai dengan dasar kerajaan Amerika Syarikat di Filipina.
Ini adalah kerana apabila Kerajaan Amerika Syarikat membuka wilayah Moro pada tahun 1903, pegawai mereka mendapati undang-undang dan adat bangsa Moro dan bukan Kristian adalah ganas dan tidak sesuai.
Antaranya ialah amalan perhambaan, kedudukan wanita yang rendah dalam masyarakat dan penggunaan wang darah sebagai hukuman apabila membunuh orang lain.
Gabenor Finley percaya bahawa amalan-amalan yang dipraktikkan dalam masyarakat Moro kerana kefahaman mereka mengenai agama Islam masih kurang.

Oleh sebab itu, perlunya seorang sarjana Islam dibawa masuk untuk mendidik umat Islam Filipina mengenai nilai dan kemuliaan agama Islam.
Usaha ini membuahkan hasil apabila pihak Uthmaniyah melantik Sayyid Muhammad Wajih al-Jilani dari Pejabat Sheikh al-Islam di Istanbul sebagai guru agama di Filipina pada tahun 1913.
Sayyid Wajih yang berasal dari Nazareth, Palestin tiba di Selatan Filipina pada Januari 1914. Major Finley bersama-sama Sayyid Muhammad Wajih al-Jilani menjelajah ke Selatan Filipina dan
menyampaikan ceramah kepada umat Islam termasuk menyampaikan dakwah di Teluk Sangay dan Basilan.
Tindakan Finley dalam membantu penyebaran agama Islam di Filipina yang juga merupakan kawasan jajahan Amerika sampai kepada pengetahuan Gabenor Jeneral Francis Harrison setelah dimaklumkan Speaker Segio Osmena.
Gabenor Jeneral Francis kemudian mengambil keputusan untuk menghantar kedua-kedua tokoh ini iaitu Finley dan al- Jilani masing-masing pulang ke Amerika Syarikat dan Istanbul.
Oleh kerana Perang Dunia Pertama masih berlangsung ketika itu, pengangkutan untuk al-Jilani tidak dapat disediakan oleh Kerajaan Turki Uthmaniyah.
Namun, duta Amerika di Istanbul, Henry Mogenthau menyediakan pengangkutan kapal kepada al-Jilani ke Barcelona dan meneruskan perjalanannya ke New York pada bulan Ogos 1914.

Al-Jilani meninggal dunia pada 5 Mei 1916 ketika berada di Amerika Syarikat kerana penyakit buah pinggang.
Hubungan Diplomatik Daulah Uthmaniyah dan Amerika Syarikat

Sejarah telah menunjukkan bahawa Kerajaan Turki Uthmaniyah telah mempunyai hubungan diplomatik dengan Amerika Syarikat bermula tahun 1830 iaitu ketika pemerintahan Sultan Mahmud II.
Sultan Abdul Aziz telah menerima ucapan tahniah daripada Presiden Amerika Syarikat ketika itu iaitu Abraham Lincoln pada 2 Oktober 1861 apabila baginda ditabalkan menjadi Sultan Uthmaniyah.

Hebat bukan?
Malangnya, hubungan antara Kerajaan Turki Uthmaniyah dan Amerika Syarikat jarang didedahkan kepada umum dalam disiplin ilmu sejarah.
Pada tahun kedua pemerintahan Sultan Abdul Aziz iaitu pada 25 Februari 1862, perjanjian perdagangan dan perkapalan telah ditandatangani antara Kerajaan Turki Uthmaniyah dan Amerika Syarikat.
Selanjutnya, pihak Uthmaniyah menyokong Washington dalam Perang Saudara Amerika yang tercetus antara tahun 1861-1865.
Sultan Abdul Aziz juga telah mengeluarkan perintah pada 26 Mac 1862 dengan melarang mana-mana kapal yang menentang Kerajaan Persekutuan Amerika Syarikat daripada memasuki dan membaiki kapal mereka di Istanbul.
Langkah ini disambut baik oleh Washington dan surat penghargaan oleh Presiden Lincoln disampaikan melalui Kementerian Luar Negeri Amerika Syarikat.
Seterusnya, sebagai tanda penghargaan dan penghormatan di atas tindakan Uthmaniyah, pihak Amerika Syarikat telah membuat lawatan dengan menghantar kapal perang "Ticonderoga" dan tiba di Istanbul pada 12 September 1866.
Lawatan ini adalah sebagai tanda pihak Amerika masih mahu menjaga hubungan dengan Turki kerana ketika itu pemberontakan Cretan sedang berlaku dan kempen propaganda menentang Turki sedang meningkat di Eropah dan Amerika.
Anak-anak kapal ini dijemput ke istana dan diberi penghormatan oleh Sultan Abdul Aziz sendiri.

Selain daripada mempunyai hubungan dengan Amerika Syarikat, Sultan Abdul Aziz juga telah melawat Mesr, Perancis, Britain dan Prussia.
Tujuan lawatannya ialah supaya Perancis berpihak kepada Uthmaniyah dan tidak berpihak kepada Rusia.

Baginda juga berhasrat untuk mempengaruhi negara-negara Eropah supaya tidak berpihak kepada Rusia dalam menjaga kemaslahatan politik Daulah Uthmaniyah.
Itu sahaja untuk thread kalini.

Terima kasih sebab membaca.

Kalau ada nak tanya apa apa soalan, boleh tanya dekat link bawah ni

curiouscat.me/JoshSaladin
Missing some Tweet in this thread?
You can try to force a refresh.

Like this thread? Get email updates or save it to PDF!

Subscribe to Josh Saladin
Profile picture

Get real-time email alerts when new unrolls are available from this author!

This content may be removed anytime!

Twitter may remove this content at anytime, convert it as a PDF, save and print for later use!

Try unrolling a thread yourself!

how to unroll video

1) Follow Thread Reader App on Twitter so you can easily mention us!

2) Go to a Twitter thread (series of Tweets by the same owner) and mention us with a keyword "unroll" @threadreaderapp unroll

You can practice here first or read more on our help page!

Did Thread Reader help you today?

Support us! We are indie developers!


This site is made by just three indie developers on a laptop doing marketing, support and development! Read more about the story.

Become a Premium Member and get exclusive features!

Premium member ($3.00/month or $30.00/year)

Too expensive? Make a small donation by buying us coffee ($5) or help with server cost ($10)

Donate via Paypal Become our Patreon

Thank you for your support!